Siapa pun yang menonton filem ini pasti akan terbawa oleh ceritanya. Bukan hanya kerana pengembaraannya, tetapi kerana kita sedang melihat visualisasi karya yang telah bertahan hampir 3,000 tahun.
Odyssey ialah epik Yunani purba yang dikaitkan dengan Homer, penyair abad ke-8 Sebelum Masihi. Dalam garis masa dunia, karya ini muncul berabad-abad sebelum kelahiran Nabi Isa AS dan Nabi Muhammad SAW. Fakta ini sahaja sudah cukup menunjukkan betapa jauhnya asal-usul kisah ini, namun ia masih hidup hingga hari ini dan kita tonton di pawagam
Bagi saya, kesanggupan Christopher Nolan membawa Odyssey ke layar besar memang mengagumkan. Ia bukan catatan sejarah, tetapi karya sastera yang penuh mitos, simbol dan persoalan hidup. Jadi kerja menukarkan perjalanan hampir 20 tahun hidup Odysseus menjadi pengalaman sinematik hampir tiga jam bukanlah tugas kecil. Daripada perang Trojan hingga perjalanan pulang ke Ithaca, Nolan tentunya berdepan cabaran besar untuk menjadikan kisah lama ini tetap dekat dengan penonton moden.
Inti Odyssey sangat jelas: ia bukan sekadar kisah pengembaraan, tetapi kisah tentang penantian, kesetiaan dan ketahanan manusia. Bukan saja kesetiaan manusia tapi binatang juga (anjing Odysseus)
Odysseus pulang ke Ithaca selepas Perang Trojan, namun perjalanannya mengambil masa 10 tahun dengan pelbagai rintangan. Di tanah air, Penelope pula menunggu dalam tekanan untuk berkahwin semula dengan lelaki lain. Di sinilah kekuatan sebenar cerita ini yang sempat saya kutip dan paling oenting peperangan terbesar bukan hanya di medan perang, tetapi dalam hati manusia.
Seperkara, hampir 3,000 tahun selepas Homer, kisah ini masih dibaca, dibincang dan kini difilemkan. Teknologi berubah, dunia berubah, tetapi persoalan manusia tetap sama, bagaimana kita menghadapi kehilangan, mencari jalan pulang, dan mempertahankan apa yang kita cintai. Ia juga bukan sekadar perjalanan pulang seorang raja.Ia adalah perjalanan manusia mencari makna dirinya.
4/5 Stars


