
Sempena Anugerah Skrin Digital 2026 yang merupakan program tahunan meraikan produk akhir pelajar – pelajar perfileman di Akademi Seni & Teknologi Kreatif (ASTIF) Universiti Malaysia Sabah (UMS), saya dijemput dan diberikan peluang untuk membuat perkongsian tentang prospek pemasaran filem dalam konteks sektor pemameran. Topik yang diberi memberi tema besar dengan naratif MENCIPTA PERMINTAAN, MEMBINA PENONTON : RAHSIA PEMASARAN DAN PENGEDARAN FILEM BERKESAN.
Sesi perkongsian 2.5 jam ini terasa agak padat dengan persediaan lebih kurang 120 slides dengan mengandungi pelbagai aspek yang perlu dirangkum agar perkongsian menjadi lebih tersusun. Dalam tempoh masa ini, saya mengupas mengenai definasi pemasaran dalam konteks komersil, asas pemasaran tersebut, pengkajian mengenai prospek yang melibatkan soal genre, sasaran serta strategi, kefahaman mengenai ekosistem perfileman, persaingan dalam industri dalam dan luar negara, keperluan kepada kepekaan tentang perkembangan industri dan diakhiri dengan post mortem kegagalan dan kejayaan filem-filem edaran 10 Star Cinemas sebagai ilmu serta bahan kes.
Terima kasih kepada semua rakan-rakan industri yang menyokong program ini.
Saya dihubungi oleh rakan-rakan komuniti filem Sabah dan juga Kuala Lumpur melalui media sosial untuk mendapatkan pandangan dari pembentangan yang dibuat serta beberapa perkara asas yang telah dilontarkan. Oleh itu, saya mengambil kesempatan ini untuk membuat sedikit rumusan ringkas dari sebahagian slide yang dikongsikan.

1. Kefahaman Mengenai Ekosistem Perfileman dalam strategi pemasaran
Buat kesekian kalinya saya sebut dalam banyak syarahan dan sesi pengkongsian, pemasaran filem bukan satu sektor yang terpencil tapi adalah satu bidang dari kefahaman terhadap komponen ekosistem perfileman. Ilmu tentang pemasaran filem ini harus disokong dengan pengetahuan tentang hubung-kait ketiga-tiga ekosistem utama yang melibatkan produksi, pengedaran dan pemameran. Saya tekankan aspek ini kerana kebanyakan penerbit filem terutama kepada penerbit yang baru termasuk para pelabur filem, hanya melihat kepada permukaan industri ini dengan nilai jutaan pendapatan namun tidak memahami cabaran serta “aspek-aspek” tersembunyi dalam komponen ekosistem itu. Dan jika kita tidak memahami perkara asas ini maka strategi pemasaran tidak mungkin mampu untuk dibentuk.

2. Prospek Komersial Bermula Dari Pembikinan Filem
Untuk memastikan filem kita mampu mendapat sambutan dalam pasaran, kita harus tahu dan mengenal-pasti aspek-aspek komersial sebelum dan ketika filem itu sedang dihasilkan. Pemikir pemasaran harus mampu melihat sudut mana yang boleh dibawa ke depan dan dipasarkan. Kita tidak harus terikat dengan format usang hanya semata-mata mempamerkan wajah pelakon, cerita dibalik produksi dan pembikinan serta suasana produksi yang menarik walaupun tidak dinafikan bahawa itu adalah penting untuk tarikan namun paling penting ialah apakah tema atau detik komersil yang perlu dipertaruhkan sebagai tarikan kepada filem tersebut.

3. 5 Elemen Penting Antara Perbandingan Filem Seni Dan Filem Komersil
Ramai orang berpandangan bahawa filem mempunyai segmen yang berbeza untuk dinilai dan dianggap sempurna. Bagi golongan yang melihat kepada kesempurnaan filem itu dari sudut seni yang berat, ianya ada kalanya bertentang kepada golongan yang sebenarnya ingin kepuasan dari sudut lain. Perbandingan ini akan membentuk pola perbezaan pada permintaan filem itu untuk berada dalam pasaran.

4. Budaya Pembikinan Filem
Menjadi satu budaya dalam pasaran filem di mana pemasarannya hanya digerakkan malah lebih teruk lagi hanya difikirkan apabila filem itu sudah siap produksi. Jika ini berlaku, sektor Pengedaran akan berdepan dengan dilema untuk menggangkat filem itu bagi memastikannya berjaya. Budaya yang betul apabila idea filem itu harus memasuki pasaran sebelum ianya matang untuk difilemkan.

5. Media Sosial Dan Pengaruhnya Terhadap Sokongan Penonton
Cabaran dari media sosial bukan dalam bentuk cetak rompak atau salinan haram yang boleh diperolehi dari sumber-sumber yang terlarang. Penonton hari ini mempunyai kriteria dan syarat yang tinggi menyebabkan sumber cetak rompak bukan lagi pasaran yang baik bagi kelompok haram ini. Namun cabaran sebenar adalah apabila media sosial ini membina dinamika pemikiran yang membentuk permintaan komuniti filem yang kuat.

6. Kunci Asas Kejayaan Filem Di Pawagam
Topik ini membawa perbincangan yang sangat subjektif. Terasnya masih kepada penghasilan filem itu sendiri namun apabila memasuki wilayah pasaran maka asasnya adalah kebijaksanaan merangka pelan pemasaran dengan sasaran yang betul dan strategi pengedaran untuk mencapai peluang yang optimum.

7. Pemasaran Filem Adalah Sebahagian Dari Komponen Filem Itu Sendiri
Sebagai ahli pemameran filem, falsafah dan pendirian saya adalah jelas bahawa untuk menjadi syarat kelayakan masuk ke pawagam, PEMASARAN adalah antara yang paling utama.
Tahniah kepada para pelajar yang mengurus program ini dan juga jutaan terima kasih kepada seluruh tenaga pengajar di Akademi Seni Dan Teknologi Kreatif (ASTIF) Universiti Malaysia Sabah diatas jemputan ini, juga kepada rakan-rakan komuniti filem Sabah yang sempat hadir dan sentiasa menyokong. Semoga memberikan manfaat kepada usaha dan impian kita.
ONN NORSHAL HAMZAH

