Satu lagi imaginasi Hollywood tentang penciptaan atau projek genetically engineered super-soldiers, iaitu cubaan mereka cipta askar yang kuat, tanpa perasaan belas kasihan dan patuh kepada arahan.
Projek ini gone wrong apabila tiga orang daripada askar tersebut mengamuk dan membunuh dengan kejam beberapa orang penduduk awam yang tinggal di sekitar makmal rahsia tempat mereka dihasilkan, di sebuah kawasan terpencil.
Keganasan mereka akhirnya berjaya dipatahkan oleh Celeste, lakonan Adria Arjona, seorang veteran tentera perempuan dan bekas rakan sepasukan askar tersebut ketika masih berkhidmat dalam tentera. Dalam ingatan Celeste, askar-askar tersebut sudahpun meninggal dunia dalam satu pertempuran. Tetapi mereka kemudiannya ‘dihidupkan’ semula melalui projek khas kontraktor ketenteraan yang diupah kerajaan.
Idea filem arahan Adam Wingard, yang juga pengarah Godzilla vs. Kong, ini agak menarik, tetapi kita sudah banyak melihat filem dengan formula sebegini.
Bagaimanapun, filem ini bijak memasukkan elemen emosi hubungan ibu dan anak perempuannya ke dalam naratif bagi mengimbangi adegan ganas yang dipaparkan. Hubungan Celeste dengan anak perempuannya yang masih kecil memberikan dimensi emosi kepada karakter Celeste.
Celeste bukan sekadar seorang veteran tentera, tetapi seorang wanita yang masih bergelut dengan PTSD dan trauma masa lalu. Ini memberikan sedikit kedalaman kepada wataknya, dan Adria Arjona berjaya menyampaikan trauma tersebut bukan hanya melalui dialog, tetapi juga melalui ekspresi dan physical acting.
Namun terdapat kejanggalan apabila elemen drama dan suspens kadang-kadang terasa tidak organik. Ada situasi yang membuat penonton bukan tertanya-tanya apa yang akan berlaku, tetapi kenapa ia berlaku begitu.
Dalam keadaan genting, sempat pula Celeste menyambung bedtime story kepada anaknya. Apa hal?
Pada awalnya kita masih boleh menggunakan suspension of disbelief, kerana kita faham ini sebuah filem aksi sci-fi. Kita sanggup menerima perkara yang tidak realistik. Tetapi semakin cerita bergerak dan situasi semakin genting, beberapa keputusan yang dibuat oleh watak utama mula membuat kita hilang sabar.
Bagaimanapun, secara keseluruhan, Onslaught masih menghiburkan dengan gabungan action, horror dan sci-fi, ditambah elemen keganasan yang agak brutal.
Dan di sinilah ironinya.
Filem tentang mencipta ‘askar tanpa perasaan’ akhirnya mempertembungkan mereka dengan seorang veteran wanita yang masih bergelut dengan PTSD, tetapi masih mempunyai sesuatu yang tidak boleh dicipta di dalam makmal, jiwa dan naluri seorang ibu.
3.8/5

