Atas alasan apa sekalipun, rasanya kita tidak boleh berkawan dengan hantu. Rasionalnya dunia kita beza. Kemudian inilah juga yang membezakan universe Danur (sejak 2017) dengan filem horor lain dari negara jiran Indonesia. Ceritanya adalah tentang ‘bersahabat baik’ dengan hantu
Dalam filem Danur: The Last Chapter ni, persahabatan tersebut harus diakhiri dengan syarat yang ‘menyakitkan’ Risa. Jika filem Danur sebelumnya, kita diperkenalkan dengan seorang gadis kesepian yang menemui rakan dalam kalangan roh kanak-kanak, kali ini kita berdepan dengan seorang wanita dewasa (dulunya gadis) yang memahami bahawa setiap hubungan walau seindah mana pun tidak dapat lari daripada perpisahan.
Naratif final chapter ni bentangkan plot mengenai gangguan yang menimpa Riri adik Risa namun konflik sebenar tidak terletak pada entiti yang mengganggu sebaliknya ada pada dilema dalaman Risa. Di sini kekuatan sebenar filem ni terserlah; ia tidak tampil untuk menakutkan penonton dengan persoalan โapa yang menghantuiโ, tetapi lebih kepada โapa makna kehilanganโ.
Arahan visual filem ini jelas juga perlihatkan kematangan. Penggunaan ruang seperti teater lama bukan sahaja berfungsi sebagai latar seram tetapi simbol kepada memori yang terperangkap dan enggan dilepaskan.
Dari segi lakonan pastinya persembahan Prilly Latuconsina sebagai Risa adalah nadi utama yang hidupkan keseluruhan emosi filem ini. Lakonan Prilly tidak bergantung kepada reaksi takut tapi lebih kepada keupayaannya zahirkan konflik dalaman watak seorang yang berada di antara dua dunia iaitu dunia yang perlu ditinggalkan dan dunia yang enggan melepaskan.
Apa yang menjadikan The Last Chapter benar-benar berkesan adalah kerana keberaniannya menukar arah emosi dari seram kepada kehilangan. Pada satu titik tertentu, filem ini berhenti menjadi kisah tentang bertahan daripada gangguan dan berubah menjadi kisah tentang merelakan sesuatu yang pernah menjadi sebahagian daripada diri pergi.
Sebagai sebuah penamat kepada universe Danur, filem ini mungkin agak kurang sempurna dari segi struktur penceritaan yang masih mengulang formula asas serta terlalu ringkas namun kekuatan emosinya jauh mengatasi kelemahan tersebut. Berbaloi ditonton.
Ia bukan sekadar menutup sebuah cerita tetapi menyempurnakan perjalanan karakter yang telah berkembang bersama penonton selama bertahun-tahun. Seperkara Danur The Last Chapter ingatkan kita bahawa perkara paling menakutkan bukanlah apa yang datang dari dunia lain tetapi saat kita terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada mereka yang pernah membuat kita tidak lagi merasa sunyi.


