Sangkaan awal saya meleset. Ingatkan sebuah komedi berselit aksi ala Jacky Chan, namun Unexpected Family memang ‘unexpected’, filem ini sebenarnya sebuah drama-komedi berteras emosi, dibina dengan tonal balance yang cermat, emosi berat diimbangi comic relief mempunyai fungsi naratif, bukan selingan kosong.
Naratif berpusat pada Ren Jiqing, seorang warga emas penghidap Alzheimer lakonan Jacky Chan yang hidup bersendirian dan secara tidak sengaja “mengambil” Zhong Bufan, seorang pemuda miskin dari kampung, sebagai anaknya. Premis ini melahirkan konflik berskala kecil tetapi sarat makna, tragicomic situations, dilema moral dan persoalan etika tentang mencipta realiti palsu demi kasih sayang.
Bufan, yang pada awalnya didorong naluri survival, perlahan terperangkap dalam hubungan emosi anak-bapa yang semakin tulen. Character arc Bufan yang bergerak daripada oportunisme kepada tanggungjawab menjadi enjin dramatik utama yang menambat emosi penonton hingga ke hujung cerita.
Yang paling menarik, filem ini mengubah sepenuhnya persepsi saya terhadap Jacky Chan sebagai ikon filem aksi. Ren Jiqing dibentuk melalui lakonan minimalis dan dalaman, ingatan yang rapuh, memori yang melompat-lompat serta kekeliruan yang hadir tanpa melodrama berlebihan. Alzheimer di sini tidak dieksploitasi sebagai alat simpati tetapi dipersembahkan melalui subjective experience watak, seorang warga emas yang masih mahu menyayangi, melindungi dan merasa selamat.
Jacky Chan tidak lagi “menang” adegan melalui koreografi aksi, sebaliknya melalui screen presence yang emosional, senyuman yang tersalah tempat, kemarahan yang tidak lengkap dan keheningan (stillness) yang sarat makna. Setiap kelupaan dan kekeliruan terasa jujur, seolah-olah kamera memilih untuk observe, bukan memanipulasi emosi penonton.
Secara tematik, Unexpected Family berpesan manusia tidak ditentukan oleh apa yang mereka ingat tetapi oleh bagaimana mereka hadir untuk satu sama lain pada momen tertentu. Filem ini juga mencabar definisi tradisional kekeluargaan, bahawa “keluarga” tidak semestinya lahir daripada pertalian darah atau kebenaran biologi semata-mata. Kekeluargaan boleh dibina di mana-mana, dengan sesiapa pun, pada bila-bila masa, selagi wujud cakna, mengambil berat, mengambil tahu dan memilih untuk setia hadir.
Sebuah filem yang sederhana dari segi skala tapi besar dari segi jiwa. Best!
Stars 5/5
#Support10StarCinemas
#UnexpectedFamily


