Filem Akad Yang Hilang mengisahkan seorang wanita bernama Maryam, seorang guru yang berdedikasi dan berpegang teguh pada prinsip hidup. Dia berhasrat untuk mendirikan rumah tangga bersama insan tersayang, Ammar. Namun, kebahagiaan yang diimpikan terhalang apabila perkahwinan mereka tertangguh disebabkan isu status perkahwinan ibu bapa Maryam yang dikatakan tidak sah.
Keadaan menjadi semakin rumit apabila perkara tersebut ditularkan di media sosial, lalu Maryam dan keluarganya dihina serta dikutuk dengan pelbagai tohmahan, termasuk dilabel sebagai anak haram. Tekanan emosi, fitnah dan cemuhan masyarakat menjadi ujian besar dalam hidup mereka. Apakah kesudahannya? Anda wajib menonton filem Akad Yang Hilang untuk mengetahui jawapannya.
Apa yang menarik, kisah dalam filem ini sangat dekat dengan realiti kehidupan. Tidak dinafikan, terdapat perkahwinan yang terpaksa dibatalkan atau tertangguh akibat isu sebegini. Jalan ceritanya kemas dan menyentuh perasaan, ditambah pula dengan lakonan mantap barisan pelakon yang benar-benar menghidupkan watak. Jujurnya, memang menusuk ke kalbu.
Filem ini sarat dengan nilai-nilai murni yang relevan dengan kehidupan seharian. Ia mengajar kita bahawa setiap masalah pasti ada penyelesaian, asalkan ditangani dengan sabar, bijaksana dan berlandaskan kebenaran.
Selain itu, filem ini turut mengangkat isu viral dan fitnah di media sosial. Kita diingatkan supaya tidak mudah percaya bulat-bulat terhadap sesuatu perkara. Selidik dan kaji sebelum membuat kesimpulan. Jangan sesekali menghukum orang sesuka hati, apatah lagi menjadi penyebar fitnah. Ingat, dosa memfitnah tidak akan diampunkan selagi tidak memohon maaf kepada orang yang difitnah.
Saya sangat menyarankan rakyat Malaysia untuk menonton filem ini kerana mesejnya cukup kuat dan bermakna.
Rating: 4/5 bintang
Terima kasih 10Star Cinemas atas tajaan.
Penulisan oleh: Abdullah Alif Dahlan


