Sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina dan memasuki awal Ramadan, kebanyakan panggung wayang tempatan dibanjiri filem filem berbahasa Cina dari dalam dan luar negara termasuk di rangkaian 10 Star Cinemas. Majoritinya tampil sebagai tontonan ringan yang sesuai untuk seisi keluarga dengan tema komedi, kekeluargaan dan romantik dan sedikit aksi
Terbaharu, filem 3 Good Guys muncul sebagai sebuah komedi romantik moden dengan idea yang kelihatan sederhana tetapi sebenarnya mempertanyakan satu perkara yang lebih dalam iaitu tahap ego seorang lelaki dalam hubungan.
Filem ini merupakan filem Malaysia berbahasa Mandarin arahan Boi Kwong yang mengetengahkan dinamika tiga sahabat lelaki dalam berdepan konflik cinta dan perkahwinan.
Kisah ringkas tentang tiga lelaki yang masing masing berada pada fasa berbeza dalam hubungan mereka. Seorang hampir melangkah ke alam perkahwinan tetapi masih ragu dengan pilihan sendiri. Seorang sudah bergelar suami namun gagal memahami bahasa emosi pasangannya. Seorang lagi bercita cita membina keluarga tetapi belum benar benar matang untuk memikul tanggungjawab.
Apa yang bermula sebagai usaha mencari penyelesaian akhirnya bertukar menjadi rangkaian situasi yang membuka pekung ego masing masing. Di sinilah filem ini menemukan nadinya. Komedinya bukan sekadar pada situasi lucu tetapi pada pendedahan sisi lelaki yang jarang diakui.
Filem 3 Good Guys bermain dengan idea bahawa menjadi lelaki baik tidak automatik menjadikan seseorang itu matang. Kadang kadang mereka bukan berniat menyakiti. Mereka cuma terlalu sibuk mempertahankan ego sendiri.
Dari sudut penceritaan, nadanya santai dan mudah diikuti. Dialog bersahaja, tempo yang lancar dan keserasian antara tiga watak utama menjadi kekuatan utama. Ia bukan filem yang berat tetapi cukup untuk membuat penonton ketawa sambil diam diam mengakui kebenarannya.
Overall ringkas, menghiburkan dan secara halus menampar ego lelaki tanpa perlu menjerit.
Stars 4/5


