TAYANGAN ‘SHORT FILM’ DI PAWAGAM – PROGRAM PENGUKUR GELOMBANG PASARAN

Perkembangan industri filem di Malaysia terus menunjukkan arus positif dengan pencapaian demi pencapaian dicatat setiap tahun pada pasca Covid 19. Bermula tahun 2022 dengan rekod mutlak filem Mat Kilau (RM 97 juta), disusuli dengan Polis Evo 3 tahun 2023 (RM 54 Juta), Sheriff pada tahun 2024 (RM 63 Juta) serta kini Blood Brothers dengan kutipan terkini RM 70 juta dan masih ditayangkan ketika artikel ini ditulis. Kesemua filem-filem ini menjadi pilihan utama penonton dan gagal disaingi oleh filem-filem besar dari barat, tidak seperti suasana sebelum pandemik di mana kutipan filem barat mencatat 70% dari jumlah keselurusan kutipan kasar pawagam di Malaysia dan filem tempatan berada pada kutipan di bawah RM 50 juta.

Jika kita berbicara secara makro, apakah ini bagus, jawapannya ya tapi secara mikro, jawapannya tetap ya tapi ada kekurangannya.

Realitinya, kejayaan banyak filem Malaysia hari ini lahir dari satu universiti perfileman khas iaitu “Universiti Perfileman Yusof Haslam” (UPYH). “UPYH” adalah satu pusat pengajian secara DNA yang tidak boleh dipohon kemasukannya tetapi sangat berjaya melahirkan pengarah – pengarah hebat dan dikagumi oleh masyarakat. Bagaimana ini boleh berlaku? Falsafahnya mudah, setiap kejayaan yang dicapai pasti ada resepi dan prosesnya. Kejayaan Shamsul Yusof dan Syafiq Yusof, selain memiliki mahaguru filem yang hebat, kedua mereka melalui satu proses pembelajaran praktikal yang konsisten dan sistematik. Akhirnya, ilmu itu berjaya diterapkan untuk menerbitkan juadah karya filem komersil yang sentiasa membentuk tsunami di pasaran pawagam.

GELAGAT PENONTON PAWAGAM

Saya terbaca beberapa keluhan penggiat filem tempatan yang merakamkan kegusaran memandangkan beberapa filem yang dikatakan baik, berkualiti dan mendapat rating yang tinggi tetapi tetap gagal di pasaran. Persoalannya apabila filem itu tewas di pawagam, apakah itu bermakna filem tersebut gagal, jawapannya tidak. Hanya filem tersebut tidak berjaya mengumpan penonton di pawagam namun harus diingat bahawa pawagam hanyalah salah satu cabang pemameran, itu bukan pengakhirannya.

Bila kita cuba merungkai kenapa sebuah filem itu gagal di pawagam, jangan cepat menuding jari atau menyalahkan diri sendiri, hakikat sebenarnya adalah kegagalan memahami kefahaman terhadap gelagat penonton. Ingin saya kongsikan bahawa pawagam mempunyai ahlinya dan ahli itulah penonton pawagam. Pawagam kenal siapa ahlinya. Namun kalau pawagam ditanya apakah kemahuan ahlinya, ibarat kita bertanya kepada “UPYH” kenapa filem graduannya sentiasa berjaya, jawapannya adalah umum dan subjektif walau mungkin sebenarnya adalah objektif.

Subjektifnya saya menyebut bahawa ahli pawagam ini bukan sekadar memilih filem yang terbaik serba-serbinya tetapi menonton filem yang mereka suka. Dalam erti lain, penonton pawagam tidak menonton filem yang kita beri, tetapi mereka menonton filem dari gelombang yang mereka cipta sendiri. Oleh itu, apabila kita cuba memahami apakah tema filem yang penonton pawagam suka yang diciptakan oleh mereka, ianya mesti melalui satu proses dasar yang strategik dan penuh emosi. Dan emosi ini boleh dibangunkan salah satunya melalui pembikinan dan penayangan Short Film.

PROGRAM TAYANGAN SABAH SHORT FILM DI 10 STAR CINEMAS

Sebenarnya dalam industri filem Malaysia hari ini, ramai bakat bakat muda di luar sana yang setara dengan “graduan UPYH” ini. Mereka berbakat, mempunyai idea serta kemampuan, punyai minat, kesabaran serta kesaktian dalam berkarya. Masalahnya adalah dua, pertama mereka tidak punya bimbingan tentang hala tuju industri, dan keduanya mereka tidak mempunyai platfom untuk mendedahkan karya mereka secara sistematik dalam pasaran.

Atas semangat itu, terbitlah idea Program Tayangan Short Film di Pawagam 10 Star Cinemas. Apakah Program Tayangan Short Film di pawagam ini sebenarnya satu program jangka pendek dan hobi semata-mata? Rujuk falsafah yang saya tulis tadi tentang rahsia “UPYH”, setiap kejayaan yang dicapai pasti ada resepi dan prosesnya.

Ada tiga objektif asas program ini.

Pertama, ruangan program Short Film ini akan menjadi proses untuk bakat – bakat muda mengetengahkan karya mereka dalam pasaran pawagam melalui sistem yang sistematik. Secara tidak langsung, 10 Star Cinemas akan menjadi gelanggang umum dalam pengasahan bakat secara konsisten serta memupuk kepercayaan bahawa industri ini adalah lapangan komersil yang berpotensi.

Kedua, program ini akan mendedahkan secara praktikal mengenai proses pembikinan filem secara rasmi serta apakah keperluan dan dokumen yang diperlukan. Proses ini yang melibatkan agensi kerajaan seperti permohonan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) FINAS, Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan lain-lain. Kefahaman ini penting agar bakat-bakat muda ini memahami keperluan kelulusan asas untuk penayangan di pawagam sebagai persediaan penerbitan yang lebih besar.

Ketiga, sebagai objektif paling penting, program Short Film di pawagam ini adalah untuk memahami kehendak sebenar penonton, apa yang mereka inginkan dan apakah konten filem yang sebenarnya akan menarik mereka ke pawagam untuk filem komersil. Jadikan program ini dalam konteks kefahaman mengenai gelagat penonton. Saya membayangkan jika sambutan dan respon penonton terhadap konten Short Film yang ditayangkan mendapat sambutan, maka itu petanda konten itu adalah selera penonton dan seterusnya boleh dibangunkan menjadi filem komersil. Maka ini lebih baik dari kita terus menerbitkan filem tanpa memahami apa yang penonton inginkan.

Tanpa menghurai dengan lebih panjang, saya percaya program ini mampu dilaksanakan dengan baik. Sebagai rangkaian pawagam komuniti terbesar di Sabah kini, peranan saya dan pasukan untuk memastikan bakat-bakat muda terutamanya di Sabah untuk diberikan pendedahan tentang ekosistem perfileman. Saya telah mengumpul semua anak-anak Sabah yang berpengalaman dalam industri ini untuk kembali bersama saya dalam satu pasukan di 10 Star Cinemas Sdn Bhd dan kami akan teruskan pembangunan ini.

Jadi kepada semua terutama anak-anak Sabah, teruskan berkarya. Anda perlu ingat, peluang tayangan Short Film di pawagam ini hanya wujud di sesetengah negara luar dan tidak di Malaysia. Dan Sabah adalah satu-satunya negeri yang memiliki rangkaian pawagamnya sendiri dan 10 Star Cinemas akan menyediakan pakej ini.

Tulisan ini hanya sekadar mukadimah, Short Film Maker jumpa saya pada 16 Mei 2025 (Jumaat) pukul 7.30 malam di 10 Star Cinemas Parklane City, Benoni Papar untuk taklimat kaedah perlaksanaan program ini serta pakej yang kami sediakan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *