Filem ini mengisahkan perjalanan cinta Ben dan Alya, sepasang kekasih yang sedang dilamun bahagia. Namun, percintaan mereka terhalang oleh tentangan keluarga kerana perbezaan agama. Akhirnya, mereka terpaksa berpisah walaupun perasaan masih kuat bersemi.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila Alya disahkan mengandung hasil keterlanjuran mereka. Malangnya, keluarga Ben tidak dapat menerima hakikat tersebut dan tetap berkeras untuk memisahkan mereka. Alya bersama ibunya membesarkan anak itu tanpa kehadiran Ben di sisi.
Enam tahun berlalu, Ben akhirnya mengetahui bahawa Alya telah melahirkan anaknya, Frieya. Ben kemudian tampil menuntut haknya sebagai seorang ayah dan ingin memikul tanggungjawab terhadap anak yang selama ini terpisah daripadanya. Apakah kesudahan hubungan mereka? Jawapannya perlu ditonton sendiri di pawagam.
Bagi saya, filem ini bukan sesuatu yang asing kerana kisah percintaan yang terhalang disebabkan agama sememangnya berlaku dalam realiti kehidupan.
Filem ini sarat dengan nilai-nilai murni. Watak Ben digambarkan sebagai seorang yang bertanggungjawab, cuba menebus kesilapan lalu dan berusaha membahagiakan anaknya. Alya pula matang dalam membuat keputusan, memahami bahawa Frieya berhak menerima kasih sayang seorang ayah.
Konflik antara dua keluarga menjadi kekuatan utama filem ini dan membuatkan penonton terus ingin tahu bagaimana pengakhiran ceritanya.
Kesimpulan yang boleh diambil:
👉 Jangan jadikan kesalahan silam sebagai hukuman kepada anak yang tidak berdosa.
👉 Berikan kebahagiaan kepada anak semampu yang boleh.
👉 Setiap masalah ada jalan penyelesaian, jika dicari dengan hati yang tenang dan rasional.
Secara keseluruhan, filem ini sesuai ditonton seisi keluarga. Jalan ceritanya kemas, tidak berbelit dan mudah difahami.
⭐ Rating Filem: 4/5 bintang
Disarankan untuk tontonan bersama keluarga. 🎥✨
Penulisan oleh: Abdullah Alif Dahlan


