Sejak beberapa waktu yang lepas, saya kerap memberikan perbandingan tentang pengalaman menonton filem yang akhirnya berkait kepada kesannya kepada pasaran. Ramai yang tidak menyedari persoalan ini yang sebenarnya jawapan sebenar kepada kelansungan platform tayangan terutamanya masa depan pawagam.
Lebih sedekad yang lalu, kewujudan elemen luar seperti video tape, home theater, VCD, DVD dan yang terbaru OTT Platform dilihat sebagai virus yang bakal “merasuk” masyarakat untuk membunuh industri pawagam, namun ianya tidak berlaku. Tidak seperti budaya buku, Cyber Cafe, surat khabar, majalah dan lain-lain kian terkubur, industri pawagam masih kekal bertahan hingga kini malah masih menjadi medium penting penayangan filem di kalangan masyarakat.
Kenapa ini boleh berlaku? Dan kenapa industri pawagam masih boleh bertahan? Saya rungkai di akhir penulisan.
Hanya beberapa hari ketika artikel ini ditulis, filem yang merajai carta pawagam tahun ini BLOOD BROTHERS dengan kecemerlangan mencapai kutipan pecah panggung RM 72 juta, mula ditayangkan secara umum melalui saluran NETFLIX bermula 10 Ogos 2025. Ramai yang teruja untuk menonton filem ini di rumah bersama keluarga terutama bagi penonton tegar OTT dan golongan yang belum menonton filem ini di pawagam.
Mungkin bagi kebanyakan orang, tayangan di saluran NETFLIX ini hanya sekadar lanjutan kepada legasi tayangan sebagai filem yang tersohor tahun ini, tapi saya melihat dari sudut lain. Kanta saya lebih dari sekadar tayangan tetapi menjurus kepada kefahaman budaya penontonan yang sebenarnya memberikan jawapan kepada kesinambungan legasi pawagam.

Dengan memperhalusi analisa ini, mari kita melihat komen dan pandangan penonton serta netizen dalam mengulas filem BLOOD BROTHERS ini. Bagi kumpulan yang pertama, sejak filem ini ditayangkan di pawagam pada 10 April 2025, kita melihat satu gelombang luar biasa yang menyokong filem ini. Filem ini mampu bertahan sehingga lebih satu bulan dengan “membungkus” filem – filem mega seperti THUNDERBOLTS, CAPTAIN AMERICA dan lain-lain. Sebagai ahli pawagam, kami melihat ada kelompok penonton yang besar yang sanggup menonton filem ini lebih dari sekali malah boleh mencecah sehingga 3 – 4 kali tontonan. Di media sosial, pujian di hantar hingga ke bulan.
Namun apabila filem ini mula ditayangkan di saluran NETFIX, wujud satu budaya yang sedikit berbeza berbanding yang pertama. Komen-komen dari saluran media sosial yang menonton di saluran berbayar ini walaupun tidak lah mengecam secara total tetapi wujud suara berhaluan kiri yang menerbitkan persoalan tentang apa hebatnya filem ini sehingga boleh mencapai kutipan luar biasa. Malah ada yang memberikan rating yang sangat tidak mengujakan menggambarkan filem ini ibarat indah khabar dari rupa.
Konflik pandangan ini memberikan penjelasan sebenar tentang budaya penontonan dan kelompok sokongan.
Realitinya filem BLOOD BROTHERS adalah Cinema Material. Filem ini hanya boleh dinikmati sepenuhnya dengan pengalaman menonton di pawagam bukan di rumah. Kelompok penonton di pawagam tidak sama dengan penonton yang mempunyai selera umum. Penonton pawagam ada spesifikasi. Sebab itu saya pernah sebut bahawa pawagam era ini bukan seperti era yang lepas. Pawagam hari ini tidak menjual filem. Pawagam hari mempersembahkan pengalaman atau apa yang dipanggil Cinematic Experience. Pengalaman ini tidak akan mampu dinikmati di depan TV atau di telepon mudah alih. Inilah punca kenapa rata-rata penonton saluran OTT memberikan komen rendah kepada kebanyakan filem pecah panggung kerana mereka hanya menikmati 50% kehebatan filem itu dan 50% lagi telah hilang.
Bukan sahaja filem BLOOD BROTHERS, malah filem seperti MAT KILAU, POLIS EVO dan lain-lain, berhadapan dengan pandangan yang sama.
Ini lah aspek untuk menjawab persoalan awal tentang masa depan pawagam. Kerisauan kewujudan OTT ini bukanlah penamat kepada legasi pawagam kerana penawaran pengalaman ini sukar untuk ditandingi oleh platform luar. Dengan adanya kekuatan ini, pawagam akan sentiasa mempunyai “akar umbi” yang kekal setia kepadanya namun filem yang harus ke layar besar harus mempunyai kriteria Cinema Material ini agar pengalaman Cinematic Experience ini dapat dirasai seperti yang diharapkan. Namun di sebaliknya, ada filem hebat tapi kurang kekuatan di pawagam seperti filem MEMOIR SEORANG GURU, namun menjadi pilihan paling utama di saluran OTT NETFLIX. Kenapa? Ini kerana filem ini tidak sepenuhnya menawarkan Cinematic Experience tetapi menyajikan penceritaan dramatik yang memukau dan menyentuh emosi. Dari sini kita sudah faham mengenai kajian sikap penontonan dua kelompok ini.
Rumusan saya sebagai penonton tegar pawagam, filem BLOOD BROTHERS ini tetap naskhah yang hebat dan kehebatan itu yang dapat dinikmati di wilayah pawagam. Saya tidak akan menonton filem ini di saluran OTT termasuk dalam pesawat Malaysia Airlines andai kata pun filem ini dipakejkan dalam saluran percuma penerbangan pada masa akan datang.


