CERITA SEORANG TUKANG KOYAK TIKET PANGGUNG WAYANG

Sejak beberapa ketika ini, saya melihat industri kreatif Sabah sentiasa aktif dengan pelbagai berita yang menarik yang kadang-kadang mengujakan. Dari isu asas produksi hingga kepada penubuhan platform tayangan, rakan-rakan industri kreatif tampil memberikan respon positif dan negatif. Saya melihat perkembangan ini dalam dalam konteks Kanta Cinemas yang sebenarnya jika mengambil terminogi Saudara Rodih Madun, ianya tidak menyentuh “arena” saya, namun ada impak kepada aktiviti pemameran walaupun tidak maksima.

Dengan sedikit ruang masa penulisan yang ada ini, saya terpanggil untuk memberikan respon kepada penulisan Saudara Ramli Carlo mengenai satu program yang dipanggil Sabah Screen Talent (SST). Satu program yang asasnya untuk mencungkil bakat-bakat baru selain memberikan pendedahan mengenai peluang serta potensi asas lakonan melalui beberapa pengisiannya. Program bersifat seperti ini adalah sangat positif untuk industri kreatif di Sabah. Namun saya tidak menulis untuk mengupas mengenai program ini kerana ianya bukan dalam “arena” saya tetapi sekadar berkongsi cerita untuk sedikit motivasi bagi menghadapi cernaan masyarakat yang meraguinya hala tuju dan masa depannya.

Program Sabah Screen Talent (SST) ini mengimbau kembali usaha saya memperkenalkan Pawagam Komuniti di Malaysia khususnya di Sabah. Bukan satu usaha yang mudah dan ianya tidak seperti apa yang kita lihat hari ini. Keterlibatan saya dalam industri pawagam ini sejak 1999 mengajar saya tentang dimensi pawagam secara menyeluruh. Dalam tulisan saya dalam Kanta Cinemas memberikan kita sedikit kefahaman mengenai industri pawagam ini. Lebih kurang sedekad yang lalu, saya sudah melihat budaya pawagam akan berubah. Dengan kronologi sebelum Perang Dunia Ke 2 dengan budaya Wayang Pacak, Stand Alone Cinemas, Cineplex hingga Multiplex, era pawagam bergerak kepada pusingan asal komuniti dan Cultureplex. Di sinilah saya mula gerakkan idea untuk memperkenalkan konsep pawagam komuniti. Namun tumpuan saya memberikan keutamaan pembangunan di bandar-bandar kecil yang mempunyai potensi penontonan dan dalam masa yang sama menyumbang kepada komuniti dalam lingkaran yang berkaitan.

Namun untuk melanggar arus bukan mudah. Saya pernah digelar “orang gila” kerana konsep ini. Masyarakat pada masa itu sangat taksub dengan teknologi dan sifat kemodenan yang kaku tanpa memahami roh sebenarnya pemameran pawagam. Bertahun mencuba dan akhirnya apabila Allah SWT memberikan jalan, maka idea ini diterima sebagai percubaan. Dan lahirlah pawagam komuniti MAX Cinemas Lahad Datu pada 12 September 2019 dengan hanya 4 dewan tayangan. Terbukti, rezeki tidak salah alamat. 3 bulan pertama kutipan dan sokongan masyarakat sangat memberansangkan. Walaupun pecutan itu tersekat seketika akibat Covid 19, namun tanda arasnya sudah terbentuk dan kini MAX Cinemas akan berkembang dengan tambahan 1 dewan menjadikannya 5 dewan tayangan pada penghujung tahun ini.

Bermula dari detik itu, segala yang kita fikirkan sudah mula boleh direalisasikan. Orang-orang yang dulunya memandang saya gila beralih 360 darjah dengan melihat saya sebagai seorang yang sangat waras dan berwawasan. Proposal demi proposal datang mencurah dari pelbagai pihak dengan tambahan idea yang boleh membawa kita ke bulan. Namun kita harus tahu di mana kita bermula. Sehinggalah akhirnya pada ketika saya bersemuka dengan seorang kerabat raja yang mempunyai visi dan wawasan yang sama, maka persefahaman dimeterai. Akhirnya lahirlah 10 Star Cinemas pada 16 Disember 2021 di tanah kelahiran Tawau. Pawagam pertama ini di Bintang Kubota, Tawau memiliki kekuatan yang luar biasa. Walaupun kecil hanya dengan 5 dewan tayangan dengan kapasiti 385 tempat namun auranya sentiasa memukau. Hingga catatan ini dibuat, dalam 3 tahun pembangunan 10 Star Cinemas sudah memiliki 6 cinemas dengan 35 dewan tayangan dan kapasiti 2549 tempat duduk.

Itu cerita ringkas 10 Star Cinemas Sdn Bhd – Pawagam Komuniti Anda. Selebihnya saya simpan.         

Dalam sisi yang lain untuk dikongsikan mungkin ada, tapi tidak semuanya. Sejarah saya mencatat bahawa saya berada dalam Jawatankuasa Wajib Tayang sejak 2007. Ketika itu Pengerusinya ialah Allahyarham Datuk Mustapha Maarof. Wakil Persatuan Penerbit Malaysia (PFM) adalah Allahyarham Tuan Ahmad Fuad Onah dan saya mewakili Persatuan Pawagam Malaysia (MAFE). Perjalanan ini panjang sehinggalah saya sendiri mengemudi Jawatankuasa ini sebagai Pengerusi pada tahun 2018. Yang saya ingin sentuh di sini bukan soal jawatan tapi senario pada masa itu. Era itu adalah era filem Hollywood. Pengedar filem Hollywood memang mendabik dada dengan setiap filem edaran mereka. Apa tidaknya semua filem mereka hampir pasti akan pecah panggung. Hampir lebih 2 dekad mereka menguasai pasaran moden pawagam dunia dan juga Malaysia. Berdasarkan data kutipan kasar Malaysia pada ketika itu, anggaran 80% datang dari filem barat.

Gelombangnya berterusan hingga kemuncaknya 24 April 2019 apabila filem AVENGERS: ENDGAME membuka tirai pawagam hingga mencatat kutipan RM 87 juta di Malaysia, ianya ibarat penamat sebagai rekod yang tidak terkalah oleh sesiapa. Pawagam ketika itu terpaksa menyembah filem barat demi survival perniagaan walaupun jiwa sebenar bukan begitu.

Kongsi pengalaman bersama Pengerusi Wajib Tayang dan Lagenda Filem Melayu, Datuk Mustapha Maarof di Studio Jalan Ampas, Singapura pada 4.3.2008. Sangat bertuah dapat berkongsi ilmu tentang era kegemilangan Cathay Keris Organization dan Shaw Brothers. Al Fatihah

Mengimbas kembali, ketika pemukiman Wajib Tayang di Johor Bahru pada 2008 dan seterusnya lawatan ke Studio Jalan Ampas di Singapura yang hanya tinggal bangunan yang terbiar, pada sesi minum petang, Datuk Mustapha Maa’rof berkata “ Onn .. satu hari nanti filem kita akan jadi paling hebat dari filem orang putih. Ketika itu kita akan berada di depan”. Arwah Fuad Onah yang juga General Manager, Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) menambah “Tidak ada yang mustahil. Yang penting yakin dan teruskan usaha, pasti jadi kenyataan”. Sebagai orang kecil, saya senyum saja.

Apabila Covid 19 melanda dunia, gelombang bertukar arus. Bermula 2022 hingga 2025, filem kita merajai carta. Filem barat di Malaysia menyembah bumi. Fenomena ini dijangka akan berterusan dengan penonton beralih arah dahagakan realiti filem tempatan. Dan kemuncaknya, sesuatu yang dianggap mustahil, apabila sejarah gabungan adiwira barat melalui filem AVENGERS : ENDGAME ditewaskan oleh seorang pahlawan melayu ulung melalui filem MAT KILAU : KEBANGKITAN PAHLAWAN dengan fenonema kebangkitan filem tempatan dengan berjaya memintas dengan kutipan RM 97 juta seterusnya menjadi filem kutipan tertinggi sepanjang masa. Kini, saya menjadi saksi yang masih hidup pada impian lalu dan kepada keduanya tokoh ini, Al Fatihah.

Semua peristiwa ini adalah sebahagian yang memberikan signifikasi untuk saya. Sebab itu apabila saya membaca tentang Sabah Screen Talent (SST), ianya boleh menjadi tapak untuk terus ke depan. Jangan risau dengan apa yang orang katakan, hanya fokus kepada asas untuk maju ke hadapan. Apabila saya sebut pada pelancaran 10 Star Film Community (10 Star FC) pada 16 Julai 2025 di Benoni Papar, di mana kita sasarkan untuk membawa filem Sabah mencapai kutipan RM 1 juta, apakah itu sesuatu yang luar biasa? Ini adalah misi permulaan kerana saya punya misi yang lebih besar untuk filem – filem Sabah. Misi “orang gila”. Itu saya cerita kemudian.

Dalam satu tulisan, Saudara Ramli Carlo ada berkongsi tentang pandangan masyarakat yang memandang remeh industri ini dengan persepsi tiada masa depan. Ianya mengingatkan saya ketika tamat pengajian dan saya bekerja sebagai cinema steward. Dan orang kampung pun berkata “ .. belajar tinggi-tinggi tapi kerja tukang koyak tiket panggung wayang ..”. Tapi kini, selepas 20 tahun, orang yang sama berkata “ … Uiina liau, aku bangga dengan kau.. “.

Realitinya, saya masih seorang tukang koyak tiket panggung wayang. Saya tidak pernah berubah.

MUSTAHIL itu MITOS

1 thought on “CERITA SEORANG TUKANG KOYAK TIKET PANGGUNG WAYANG”

  1. Tulisan yg sarat dgn pengisian tulus & jujur. Ada pengajaran dlm bait bicaranya. Ada hikmah di setiap hujung jerih payah. Sungguh, ianya trlalu brharga kpd mereka yg mau brfikir. Sgt mendalam mngupas rencah 2 dekad dlm mgharungi ranjau sebuah usaha yg tiada henti. Terima kasih tn Onn Norshal Hamzah atas titipan yg hebat ini & sokongan padu kpd kami pemain industri kreatif di Sabah ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *